
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata, taklimat itu akan diadakan minggu depan dan beliau berharap semua Ahli Parlimen akan mengemukakan soalan mengenai isu itu pada sesi taklimat.
Pada 2 Feb, kementerian berkata Putrajaya menerima pengesahan rasmi bahawa mahkamah perlembagaan Sepanyol menolak rayuan kumpulan yang mendakwa sebagai waris sultan terakhir Sulu dalam pertikaian berterusan mereka dengan kerajaan.
Waris-waris tersebut cuba mencabar perintah mahkamah rendah yang membatalkan pelantikan penimbang tara untuk mempengerusikan pertikaian itu.
Pada Februari 2022, mahkamah timbang tara Perancis mengarahkan kerajaan persekutuan membayar USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris sultan terakhir Sulu.
Penimbangtara Gonzalo Stampa memutuskan bahawa Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir kawasan yang kini Sabah.
Kerajaan terdahulu mengadakan taklimat mengenai isu itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Julai tahun lepas untuk Ahli Parlimen pembangkang dan bebas.
Bagaimanapun, sesi taklimat itu dikelaskan bawah Akta Rahsia Rasmi dan media diberitahu supaya tidak melaporkannya.