Bajet 2023 diharap tidak pinggir veteran tentera, anggota polis

Bajet 2023 diharap tidak pinggir veteran tentera, anggota polis

Presiden Persatuan Veteran ATM, Shahrudin Omar mendakwa majoriti veteran tentera kini menjadi kumpulan B40 dan memerlukan pekerjaan.

Kerajaan juga digesa membina kemudahan kesihatan khas untuk veteran kerana ramai antara mereka memerlukan rawatan akibat latihan keras yang pernah dilalui ketika berkhidmat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pihak berkepentingan dalam pertahanan dan keselamatan negara berharap Bajet 2023 akan menyelesaikan isu berkaitan dengan kebajikan veteran tentera dan polis berpangkat rendah.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Shahrudin Omar mendakwa majoriti veteran tentera kini terjerumus dalam kumpulan berpendapatan rendah B40.

“Saya berharap veteran tentera tidak tercicir dalam inisiatif kerajaan membantu rakyat kerana 80% daripada mereka adalah miskin.

“Mungkin kerajaan boleh menawarkan pekerjaan kepada mereka terutama mereka yang bersara awal di usia 40an,” katanya kepada FMT.

Shahrudin juga mencadangkan Putrajaya membina kemudahan kesihatan khas untuk veteran kerana latihan keras yang dilakukan mereka memberi kesan kepada tubuh badan apabila menjangkau usia 50 tahun.

Sementara itu, Penasihat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (Pulau Pinang), P Sundramoorthy berkata kerajaan harus mempertimbangkan untuk menaikkan elaun perumahan kepada anggota polis.

Katanya, anggota polis yang ditempatkan di kawasan bandar berdepan dengan kenaikan sewa rumah.

Seorang pegawai polis yang enggan dinamakan memberitahu FMT, walaupun anggota polis disediakan kuarters tetapi sebahagian terpaksa menyewa rumah kerana kediaman itu penuh. Anggota lain-lain pangkat yang paling terjejas dengan kenaikan sewa rumah.

Pensyarah Pusat Pengajian Pertahanan Nasional Salawati Mat Basir pula menggesa kerajaan meningkatkan aset maritim bagi memperkukuhkan keselamatan di sempadan.

Katanya, lebih banyak aset diperlukan terutama di Selat Melaka dan Malaysia Timur.

“Kita memerlukan aset maritim untuk melindungi perairan kita daripada pelbagai ancaman dan pencerobohan, terutama penyeludup dan juga mengejar kapal yang membuang sisa buangan.”

Pada 2021, Tentera Laut Malaysia melaporkan terdapat 23 pencerobohan di Zon Ekonomi Eksklusif oleh kapal China.

Antara Jan hingga 10 Jun tahun lalu, Maritim Malaysia membuat 442 tangkapan atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan manusia, bahan terlarang dan barangan kawalan, dan pencerobohan nelayan asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.