
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, kelemahan perolehan melalui tatacara darurat menjadi punca di sebalik masalah melibatkan pembekalan ventilator yang rosak, seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini.
Dalam kenyataan, C4 berkata perolehan di bawah tatacara perolehan darurat itu memfokuskan kuasa terhadap kawalan dana awam secara eksklusif di tangan cabang eksekutif kerajaan.
“Melihat dapatan ketua audit negara, jelas bahawa kegagalan mengamalkan tadbir urus baik dalam proses perolehan akhirnya mengakibatkan rakyat Malaysia lebih rugi dalam isu ventilator ini, berbanding sekiranya dilakukan dengan cara lebih telus dan bertanggungjawab.”
LKAN Siri 2 mendedahkan hanya 28 daripada 136 ventilator diperoleh Pharmaniaga Logistics untuk kementerian kesihatan dari 2020 hingga 2022, dapat digunakan.
Kerajaan tidak dapat membuat tuntutan kerugian RM13.07 juta bagi peralatan rosak itu kerana tiada sebarang dokumen perolehan antara syarikat berkenaan dengan kementerian, berikutan melalui tatacara perolehan darurat.
C4 berkata, ketiadaan dokumen bererti juruaudit tidak dapat mengesahkan peranan dan tanggungjawab khusus Pharmaniaga dalam urusannya dengan pembuat ventilator.
“Ketiadaan ketelusan menyebabkan konflik kepentingan apabila ahli politik dapat menawarkan tender kepada syarikat di mana mereka mempunyai kepentingan kewangan.
“Kedua, ketiadaan dokumentasi rasmi menggariskan tanggungjawab kontrak syarikat yang terlibat dengan perolehan menggunakan dana awam, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, dan terdedah kepada penyalahgunaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut C4, ventilator rosak itu turut membangkitkan keraguan terhadap keupayaan Pharmaniaga memperoleh peralatan seperti itu, selain pengurusan operasinya.
Susulan itu, C4 menggesa Akta Perolehan dibentangkan dan digubal secepat mungkin. Katanya, ini mampu mengehadkan rundingan langsung dan skop kuasa diberikan kepada kerajaan dalam melaksanakan sebarang perolehan melalui tatacara darurat.
“C4 turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia meneruskan siasatannya dalam perolehan ini, dan supaya siasatan dilakukan secara telus.
“Kerajaan perpaduan juga wajar menggantung dan menyemak semula semua perolehan sedia ada yang dibuat menerusi tatacara darurat, selain menilai semula setiap satu daripadanya berdasarkan merit dan integriti prosedurnya,” katanya.