Sindiket edar dadah lebih RM4 juta tumpas, 3 lelaki ditahan

Sindiket edar dadah lebih RM4 juta tumpas, 3 lelaki ditahan

Tiga suspek berusia 37 hingga 53 tahun ditahan dalam serbuan di Lembah Klang dan Kedah, Rabu lalu.

S Sasikala Devi (kanan) menunjukkan dadah dirampas selepas menumpaskan sindiket pengedaran dalam serbuan di Lembah Klang dan Kedah. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Tiga lelaki ditahan selepas polis menemui dadah jenis heroin seberat 46.7kg bernilai RM4.05 juta dalam serbuan di sekitar Klang dan Kupang, Kedah, Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi, berkata pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman memberkas seorang lelaki menaiki kereta jenis Mercedes Benz di sekitar Klang pada 3.30 petang.

Katanya, hasil penahanan itu, polis merampas satu plastik hitam berisi 10 ketulan mampat disyaki heroin seberat kira-kira 3.8kg dalam kenderaan lelaki berkenaan.

“Susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lagi suspek di rumahnya di Kapar, Klang pada 4.20 petang selepas dipandu arah oleh suspek pertama.

“Setelah pemeriksaan dijalankan di rumah suspek kedua, polis merampas sebungkus plastik hitam berisi 113 ketulan mampat heroin kira-kira 42.94kg,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Susulan penangkapan kedua-dua lelaki itu, Sasikala berkata, polis menahan seorang lagi lelaki di sebuah rumah di Kupang, Kedah, pada hari sama untuk membantu siasatan.

Katanya, seorang daripada mereka bekerja sebagai pemandu pekerja kilang manakala dua lagi menganggur dan ketiga-tiga mereka berusia dalam lingkungan 37 hingga 53 tahun.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Feb mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.