
IPOH: Polis marin merampas 11,590 karton pelbagai jenis rokok yang disyaki diseludup tanpa cukai kastam bernilai kira-kira RM1.7 juta dalam serbuan berasingan di empat buah rumah di sekitar Sitiawan dan Ayer Tawar, Manjung, kelmarin.
Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata bekalan rokok tersebut ditemukan di lantai ruang tamu semua rumah berkenaan dan tidak berpenghuni sewaktu serbuan dilakukan antara jam 1 tengah hari hingga 4 petang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata pihaknya memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan rokok untuk menghubungi balai polis berhampiran.