
Pelawat itu ditegur lelaki dipercayai ketua keselamatan Parlimen kerana memakai skirt pendek terbelah sehingga menampakkan sebahagian paha kiri.
Wartawan pada mulanya menyangka wanita itu pembantu Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii. Bagaimanapun wakil rakyat Pakatan Harapan itu dilapor berkata wanita itu bukan pembantunya.
Difahamkan, wanita berkenaan kali pertama hadir ke Parlimen.
Selepas beberapa minit ditegur, wanita itu dibawa pengawal keselamatan keluar dan diberi pilihan jika mahu kekal berada dalam kawasan bangunan Parlimen, beliau perlu menukar skirt.
Ketika ditemui pemberita, pegawai Parlimen terbabit yang enggan mendedahkan namanya, menjelaskan pemakaian wanita itu bertentangan peraturan ditetapkan Parlimen.
Katanya, beliau mendapat arahan daripada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk memantau pakaian di Parlimen supaya semua mengikut peraturan.
Pengamal media juga diminta mengikut pakaian bersesuaian dengan peraturan seperti tidak memakai kasut sukan.
Dalam kod etika berpakaian, pelawat lelaki hendaklah memakai ‘lounge suit’ dan bertali leher dengan baju kemeja lengan panjang serta seluar panjang berwarna gelap.
Manakala, bagi pelawat wanita pula dikehendaki memakai baju kurung atau kebaya labuh, blouse berlengan panjang, selain seluar panjang dan memakai kasut bukan selipar.