Menu Rahmah mampu bertahan jika harga barang tak naik mendadak, kata menteri

Menu Rahmah mampu bertahan jika harga barang tak naik mendadak, kata menteri

Salahuddin Ayub berkata ia memandangkan Menu Rahmah melibatkan tiga komponen penting iaitu beras, ayam atau ikan dan sayur-sayuran, merupakan antara barang harga kawalan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub menunjukkan makanan dijual dalam Menu Rahmah selepas pelancaran Program Rahmah AEON BiG di Wangsa Maju hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan yakin inisiatif Menu Rahmah mampu bertahan dan diteruskan pelaksanaannya, jika harga barangan tidak naik mendadak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub, berkata ia memandangkan, inisiatif Menu Rahmah melibatkan tiga komponen penting iaitu beras, ayam atau ikan dan sayur-sayuran, yang merupakan antara barang harga kawalan.

“Saya rasa tidak mungkin dalam masa tiga bulan ini, harga beras naik RM10. Tidak mungkin harga sayuran naik mendadak lima, enam kali ganda. Sama juga seperti harga ayam, harganya kita kawal.

“Jadi saya yakin dan percaya sekiranya harga pada hari ini, tidak naik melampau, Menu Rahmah itu masih boleh bertahan,” katanya selepas merasmikan pelancaran Jualan Rahmah AEON Big di AEON Big Wangsa Maju hari ini.

Salahuddin turut memaklumkan selain faktor peningkatan harga barangan, kerelaan pemain industri juga merupakan perkara penting, dalam usaha meneruskan inisiatif Menu Rahmah itu.

“Selagi mereka (pemain industri) merasa masih ada keuntungan dan mereka juga akan menjadi ‘crowd puller’, maka mereka akan meneruskan rancangan ini. Itu keyakinan saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pemain industri besar seperti Lotus, 99 Speedmart, dan NSK juga akan menawarkan Jualan Rahmah secara bergilir-gilir pada bulan tertentu, bagi meringankan beban rakyat.

Mengulas dakwaan terdapat sesetengah pihak mengambil kesempatan dengan menggunakan bahan kurang berkualiti dalam inisiatif Rahmah, beliau yakin pemain industri mengambil bahagian dalam inisiatif ini, bertanggungjawab dan tidak akan mengambil kesempatan terhadap usaha berkenaan.

Sementara itu, menyentuh tentang Program Jualan Rahmah AEON Big, Salahuddin berkata, ia menawarkan 17 barangan keperluan harian dengan harga rendah antaranya beras, minyak masak, makanan proses, dan peralatan mandian, bagi membantu rakyat mengharungi peningkatan kos sara hidup, sekali gus merancakkan sektor ekonomi negara.

“Jika dibandingkan dengan harga (keseluruhan 17 barangan) di luar, ia mampu menjimatkan hampir RM25. Ini sudah pasti akan membantu meringankan beban rakyat yang memerlukan,” kata Salahuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.