
Pengarah Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Iskandar Ishak berkata mayat lengkap berpakaian sut penyelam itu ditemukan orang ramai kira-kira pukul 10.15 pagi tadi.
Beliau berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat dari Balai Polis Kandang memaklumkan mengenai penemuan itu dan pihak Pusat Latihan Peperangan Khusus mengesahkan mengenai mayat ditemukan orang awam itu sebelum dihantar ke Hospital Banting, Selangor untuk siasatan lanjut.
“Dengan penemuan mayat pelatih penyelam tersebut, SAR ditamatkan pada 2.30 petang dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia juga dimaklumkan mengenai penemuan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Iskandar turut mengucapkan terima kasih kepada tentera, polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan komuniti nelayan yang terlibat sepanjang SAR tersebut.
Isnin lalu, Maritim menangguhkan SAR berkenaan selepas pencarian yang memakan masa selama tujuh hari gagal menemukan sebarang petanda mengenai kehilangan mangsa.
Pada 7 Feb lepas, Edrin Baintim, 25, anggota Tentera Darat dipercayai daripada Grup Gerak Khas (GGK) dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.
Mangsa dikatakan hilang ketika latihan eksesais ‘Pari Harimau’ iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta dari Pulpak Sungai Udang.