Beri perhatian nasib semua anak tanpa kerakyatan, Suhakam beritahu kerajaan

Beri perhatian nasib semua anak tanpa kerakyatan, Suhakam beritahu kerajaan

Selain anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia, terdapat ramai anak tanpa kewarganegaraan di negara ini yang juga perlu diberi hak sama, kata Suhakam.

Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad berkata, isu tiada kerakyatan menyebabkan anak-anak tidak mendapat akses sepenuhnya kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan agar memberikan perhatian serius terhadap nasib semua anak tanpa kewarganegaraan.

Pengerusinya Rahmat Mohamad turut mengalu-alukan langkah kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia kerana terdapat ramai anak tanpa kewarganegaraan di negara ini yang juga perlu diberi hak yang sama.

“Suhakam juga ingin menyeru kerajaan untuk memberi perhatian serius dan menyelesaikan isu tanpa kewarganegaraan lain yang melibatkan anak angkat di Malaysia, kanak-kanak baru lahir yang dijumpai, Orang Asli, Orang Asal di Sabah dan Sarawak, anak tidak sah taraf atau yang lahir dari perkahwinan yang tidak didaftarkan, orang tanpa dokumen dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, isu tiada kewarganegaraan yang dihadapi kanak-kanak ini menyebabkan mereka berdepan kesukaran seperti akses terhad kepada perkhidmatan asas termasuk pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Tambahnya, keluarga yang terjejas juga menderita teruk akibat tekanan emosi dan stigma sosial.

Merujuk kepada keputusan Jemaah Menteri mengenai anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia, Rahmat memuji kerajaan kerana memastikan hak asasi rakyat Malaysia diiktiraf dan dilindungi, tanpa mengira jantina dan tempat kelahiran mereka.

Katanya, ini juga selaras dengan negara menjadi pihak kepada kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw).

“Suhakam amat menghargai komitmen kerajaan dalam menjamin hak asasi manusia dan keadilan sosial di Malaysia, serta sedia membantu dan bekerjasama untuk memastikan keputusan baharu ini dilaksana dengan cepat dan berkesan,” katanya.

Dalam kenyataan bersama semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dijangka dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat semasa selepas memenuhi keperluan undang-undang.

Menurut mereka, cadangan pindaan Perlembagaan itu adalah untuk menggantikan perkataan “bapanya” dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan “sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya”.

Buat masa ini, anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia tidak berhak mendapat kewarganegaraan secara automatik kerana Perlembagaan hanya memperuntukkan kewarganegaraan melalui bapa.

Tindakan Putrajaya itu turut dipuji oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Family Frontiers, sebuah kumpulan yang menyokong wanita Malaysia diberi hak untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.