PH patut serah Batang Kali kepada BN sebagai simbol solidariti, kata penganalisis

PH patut serah Batang Kali kepada BN sebagai simbol solidariti, kata penganalisis

Kawasan berkenaan pernah menjadi kubu BN sebelum tewas pada PRU14 di tangan Harumaini Omar daripada Bersatu, yang bertanding atas tiket PKR pada waktu itu.

Kerjasama BN-PH boleh menjadi contoh semangat solidariti perpaduan dan menjamin kemenangan di kerusi itu yang termasuk dalam Parlimen Hulu Selangor.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik berpendapat Pakatan Harapan (PH) wajar memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di DUN Batang Kali sebagai simbol solidariti gabungan itu di Selangor.

Ini kerana kawasan berkenaan pernah menjadi kubu BN sebelum tewas pada PRU14 di tangan Harumaini Omar daripada Bersatu, yang bertanding atas tiket PKR pada waktu itu, menurut Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Harumaini menyertai Pejuang pada Ogos 2020. Pada Khamis, Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim mengumumkan bahawa ketua Pejuang Selangor itu bukan lagi ADUN Batang Kali kerana tidak hadir sidang DUN Selangor lebih enam bulan.

“Maka dalam hal ini kerusi ini seharusnya diberikan kepada BN semula pada PRN nanti kerana tidak banyak kerusi lain boleh dimenangi mereka,” kata Oh kepada FMT.

Beliau berkata, kerjasama BN-PH juga boleh menjadi contoh semangat solidariti perpaduan dan menjamin kemenangan di kerusi itu yang termasuk dalam Parlimen Hulu Selangor.

Parlimen itu dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 dengan majoriti 1,562 undi.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berpandangan kerusi Batang Kali sesuai diberikan kepada BN memandangkan 66% pengundinya adalah Melayu.

“Kalau lihat situasi sekarang, PN adalah cabaran utama dari segi tarikan pengundi Melayu,” katanya.

“Di Batang Kali ini, saya lihat siapa dapat tarik pengundi Melayu yang hampir 66% itu, itulah parti boleh menang.”

Sementara itu, penganalisis veteran Ahmad Atory Hussain berkata, BN tidak boleh menang dengan hanya mengharapkan undi Melayu, tetapi juga memerlukan undi daripada bukan Melayu yang boleh dibantu oleh PH.

“Sukar BN ingin menang sekiranya tidak dapat sokongan pengundi bukan Melayu dan juga pengundi Melayu yang sebelum ini memberi sokongan kepada PKR.

“PH harus beri jaminan menyokong jika BN hendak bertanding di Batang Kali. Jika tidak, agak sukar untuk BN mendapat kembali kerusi itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.