Baki RM312 juta tunggakan pinjaman pembangunan tanah peserta Felcra ditukar status

Baki RM312 juta tunggakan pinjaman pembangunan tanah peserta Felcra ditukar status

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mat Roni Zakaria berkata penukaran baki pinjaman kerajaan kepada ekuiti itu diluluskan Dewan Rakyat Khamis lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Mat Roni Zakaria berkata langkah itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap isu bebanan hutang pembangunan tanah yang dihadapi Felcra.
KUALA LUMPUR:
Felcra Bhd menjelaskan baki tunggakan pinjaman pembangunan tanah pesertanya sebanyak RM312.22 juta sehingga 31 Dis 2021 telah ditukar status daripada pinjaman kerajaan kepada ekuiti kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mat Roni Zakaria berkata penukaran baki pinjaman kerajaan kepada ekuiti dalam Felcra termasuk jumlah RM312.22 juta itu telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Khamis, 4 Ogos 2022.

“Kelulusan ini telah memberi ruang kepada Felcra untuk memperkukuhkan kedudukan kewangannya bagi jangka masa panjang yang sekali gus dapat melunaskan tanggungjawab sosial kepada peserta dengan lebih besar dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut adalah bagi mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 yang dikeluarkan Khamis lalu menyebut jumlah pinjaman pembangunan tanah peserta Felcra yang tertunggak sehingga 31 Dis 2021 adalah sebanyak RM312.22 juta.

Mat Roni berkata langkah penukaran itu juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap isu bebanan hutang pembangunan tanah yang dihadapi oleh Felcra.

Jelasnya, sebagai sebuah entiti korporat yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan (Diperbadankan), Felcra mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan dua teras utama pengoperasian syarikat perlu dilunaskan iaitu operasi perniagaan komersial dan mandat sosial syarikat untuk rakyat khususnya kepada peserta Felcra.

Beliau berkata walaupun Felcra berdepan dengan laporan kewangan yang kurang memberangsangkan dari aspek tunggakan hutang dan keupayaan membayar dividen kepada kerajaan, aspek pengurusan kewangan akaun peserta (projek penyatuan dan pemulihan) tetap menjadi agenda utama syarikat itu.

Felcra mencatat jumlah agihan dividen yang baik iaitu sebanyak RM163 juta pada 2020, RM478 juta pada 2021 dan RM517 juta pada 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.