Aset di Luxembourg: Tiada kompromi soal kedaulatan negara, kata Fadillah

Aset di Luxembourg: Tiada kompromi soal kedaulatan negara, kata Fadillah

Timbalan perdana menteri itu berkata, tuntutan daripada pihak yang mengaku waris Sulu seolah-olah ingin mengugut negara dari segi ekonomi.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, pendirian negara kekal walaupun perlu berdepan dengan tuntutan di negara-negara yang berbeza.
KUCHING:
Kerajaan tidak akan berkompromi dalam membela hak serta kedaulatan negara terutamanya dalam mendepani tuntutan terhadap aset-aset negara oleh pihak yang mengaku sebagai waris kumpulan Sulu.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, pendirian negara kekal walaupun perlu berdepan dengan tuntutan mereka di negara-negara yang berbeza.

“Pada masa sama, kerajaan juga sedang meneruskan usaha memberi kesedaran pada negara-negara Eropah lain (yang mempunyai aset negara) untuk mengatakan tuntutan ini tidak berasas.

“Tuntutan ini seolah-olah ingin mengugut negara kita dalam konteks ekonomi kerana mereka mungkin ada ‘funder’ yang melihat ada peluang untuk dapatkan keuntungan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Kanser Sedunia peringkat Parlimen Petra Jaya hari ini.

Semalam, Petronas dalam kenyataannya menegaskan bahawa tuntutan oleh pihak berkenaan terhadap dua anak syarikatnya di Luxembourg (Luxcos) sebagai tidak berasas, dan pihaknya akan terus mempertahankan kedudukannya di sisi undang-undang.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan media mengenai tindakan Mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah sitaan baharu ke atas dua anak syarikat Petronas itu pada minggu ini.

Laporan agensi berita Reuters bertarikh 16 Feb dengan tajuk ‘Petronas units in Luxembourg seized again in USD15 billion arbitration dispute,’ yang menyatakan bahawa bailif mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah sitaan baharu bagi unit terbabit minggu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.