Agihan bantuan banjir Terengganu lewat disebabkan tuntutan bertindih, kata MB

Agihan bantuan banjir Terengganu lewat disebabkan tuntutan bertindih, kata MB

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, terdapat pasangan suami isteri yang mengemukakan tuntutan sama di kawasan berlainan demi kepentingan sendiri.

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain tuntutan bertindih golongan tidak layak memohon yang turut menuntut juga mengakibatkan agihan bantuan lewat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Agihan bantuan tunai kepada mangsa banjir di Terengganu lewat diagihkan disebabkan berlakunya tuntutan bertindih.

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, terdapat pasangan suami isteri yang mengemukakan tuntutan sama di kawasan berlainan demi kepentingan sendiri.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terpaksa melakukan semakan dan penyelarasan semula bagi memastikan agihan dilakukan dengan adil dan saksama.

“Ada dua daerah yang belum mengemukakan senarai kerana masalah ini (tuntutan bertindih). Ini menyebabkan JPKK terpaksa semak semula.

“Malah ada juga kes yang tak layak terima pun menuntut. Keadaan inilah yang melambatkan proses agihan kepada mangsa yang benar-benar layak,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu 2023 di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Bagaimanapun Samsuri berkata beliau telah mengarahkan supaya masalah tersebut diselesaikan segera.

Beliau berkata dianggarkan 26,000 ketua isi rumah (KIR) di Terengganu akan menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000 pada awal Mac ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata beliau akan mengadakan pertemuan rasmi buat pertama kali dengan pemimpin utama negeri Khamis ini, bagi membincangkan tarikh pilihan raya negeri (PRN).

Pertemuan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur itu akan melibatkan Menteri Besar Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.