Tarikh rayuan kes bunuh Kevin Morais dikosongkan

Tarikh rayuan kes bunuh Kevin Morais dikosongkan

Peguam berkata prosiding itu ditangguh kerana dua perayu belum memfailkan petisyen rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015 dan mayatnya ditemui di Subang Jaya 12 hari kemudian.
PUTRAJAYA:
Rayuan enam lelaki termasuk seorang doktor yang dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais masih tergantung selepas tarikh pendengaran ditetapkan sebelum ini dikosongkan.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 3 Mac untuk mendengar rayuan namun tarikh itu kini dikosongkan apabila dua perayu belum memfailkan petisyen rayuan.

Peguam Jasmine Cheong, yang mewakili bekas doktor tentera R Kunaseegaran, berkata dua perayu itu adalah R Dinishwaran dan S Ravi Chandran.

FMT difahamkan bahawa Dinishwaran mengambil peguam baharu yang memerlukan masa untuk meneliti rekod rayuan, manakala peguam Ravi Chandran yang dilantik tahun lalu sedang memfailkan petisyen rayuannya.

Perayu lain memfailkan alasan rayuan bertulis mereka selepas mendapat rekod rayuan daripada mahkamah awal tahun lalu.

“Kita dimaklumkan tarikh pendengaran tidak boleh ditetapkan sehingga semua petisyen rayuan difailkan memandangkan keenam-enam itu dibicarakan secara bersama,” kata Cheong kepada FMT selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Khairi Haron hari ini.

Rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 11 April.

Mahkamah Rayuan tidak menolak rayuan kedua-dua mereka walaupun berlaku kelewatan kerana perayu tertakluk kepada hukuman mati.

AK Thinesh Kumar, M Vishwanath dan S Nimalan turut disabitkan membunuh Morais pada 2 Sept 2015 antara Jalan Dutamas Raya Sentul di Kuala Lumpur dan 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya.

Morais dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015. Beliau dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur dengan menaiki kereta.

Mayatnya kemudian ditemui dalam tong minyak berisi simen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, 12 hari kemudian.

Dalam keputusannya, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Azman Abdullah memutuskan semua enam lelaki itu mempunyai niat bersama untuk membunuh Morais.

Perbicaraan bermula pada Januari 2016 dengan 70 saksi dipanggil memberi keterangan di peringkat pendakwaan.

Keputusan di Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 menjadikannya sebagai salah satu perbicaraan kes bunuh paling lama di negara ini, yang ditangguhkan atas pelbagai sebab, termasuk pertukaran peguam mewakili tertuduh.

Pada Disember 2020, FMT melaporkan proses rayuan terhenti kerana hakim bicara belum memberikan alasan bertulisnya.

Menurut arahan amalan mahkamah, hakim bicara mesti menyediakan alasan penghakiman dalam tempoh lapan minggu dari perayu memfailkan rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.