
Ahli Dewan Negara, Ras Adiba Radzi yang kesal dengan kenyataan itu, berharap wakil rakyat Perikatan Nasional berkenaan dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk tindakan lanjut.
“Kenyataan YB (Yang Berhormat) Dr Halimah Ali tanpa fakta dan data sains memberi pemahaman salah kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) merupakan satu bentuk kekurangan keupayaan dari aspek neurologi yang mengakibatkan masalah dari segi perkembangan bahasa, tingkah laku serta pertuturan melibatkan kanak-kanak dan bukannya penyakit fizikal.
Katanya, autisme boleh dikenal pasti pada tahap awal pembesaran kanak-kanak bermula usia 1 hingga 3 tahun dan mula ketara apabila umurnya meningkat 6 tahun.
Antara faktor penyebab ialah ciri-ciri genetik, sejarah keluarga, usia dan keadaan fizikal ibu semasa mengandung, jarak antara kandungan serta keadaan ketika hamil dan kelahiran bayi.
Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan satu daripada 100 kanak-kanak di seluruh dunia menghidap autisme, manakala statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat hingga 30 Jun 2022 menunjukkan 36,601 individu di negara ini disahkan mempunyai autisme, termasuk 24,748 kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
“Justeru, saya menyeru Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat menyegerakan penubuhan Majlis Autisme Kebangsaan, manakala Jabatan Pendaftaran Klinikal Autisme perlu memperkenalkan pelaporan wajib bagi kes autisme di Malaysia.
“Selain itu, Klinik Subfertiliti di bawah Lembaga Pendudukan dan Pembangunan Keluarga Negara harus dilibatkan dalam mengatasi masalah autisme dalam kandungan (bayi) dan perbanyakkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Autisme Berkefungsian Tinggi (PPDK HFA) di seluruh negara bagi mengembangkan potensi kanak-kanak autisme.”
Beliau turut menyeru semua pihak menjaga dan menghormati sensitiviti OKU di negara ini.