
Menolak pertikaian yang dibuat bagi pihak kanak-kanak itu – dikenali sebagai SKY – bahawa tiada peruntukan undang-undang yang memberikan kuasa kepada peguam negara, yang dinamakan sebagai responden, untuk mendesak pengeluaran laporan DNA sedemikian, Hakim Evrol Mariette Peters berkata: “Saya tidak dapat menerima hujah ini, apabila mengambil kira penelitian Seksyen 5 Akta Kesahtarafan yang membenarkan responden meminta pengeluaran laporan DNA.”
Peters berkata, ia terletak pada pempetisyen, yang menyaman melalui ibunya, untuk mematuhi syarat undang-undang apabila memfailkan petisyen itu.
“Memandangkan pempetisyen yang memfailkan permohonan ini, dia harus mematuhi syarat yang diperlukan, dan permintaan laporan DNA (oleh peguam negara), untuk membuktikan tuntutannya munasabah.”
Mengenai hujah pempetisyen bahawa mahkamah sepatutnya membenarkan permohonannya sebagai perkara dasar awam kerana dia “kini diselubungi ‘stigma sosial’ sebagai anak tidak sah taraf”, dan bahawa desakan untuk laporan DNA akan terus menimbulkan prasangka terhadapnya, Peters berkata: “Saya tidak dapat menerima hujah sedemikian, kerana undang-undang jelas mengenai keperluan prosedur untuk proses mengesahkan taraf seseorang dan oleh itu, tidak boleh dipertahankan bahawa permintaan responden untuk laporan DNA bertentangan dengan dasar awam.”
Peters, yang mengeluarkan penghakiman bertulisnya awal minggu ini, berkata “tiada perkara jahat atau songsang” dalam permintaan responden kepada pempetisyen untuk mendapatkan laporan DNA, kerana ini “amalan lazim” dalam permohonan untuk mengesahkan taraf anak.
“Oleh itu, demi menentukan kebenaran keturunan pempetisyen, imbangan keadilan memihak kepada pengeluaran laporan DNA,” katanya.
Untuk menjaga privasi dan mengambil kira sensitiviti isu dalam prosiding, individu yang mendakwa dirinya ibu SKY, seorang warga asing, dikenali sebagai ICU, manakala bapanya, rakyat Malaysia, sebagai SIN.
SKY dilahirkan pada 27 Mac 2015. Pasangan itu kemudiannya mendaftarkan perkahwinan mereka pada 16 April 2015.
Dilahirkan di luar nikah, SKY, melalui ibunya, memfailkan permohonan untuk mendapatkan deklarasi mahkamah bahawa dia adalah anak sah kepada ICU dan SIN.
Semasa pengurusan kes pada Jun tahun lepas, timbalan pendaftar mahkamah, atas permintaan peguam negara, mengarahkan pempetisyen mengemukakan laporan DNA sebagai keterangan.
Tidak berpuas hati dengan syarat yang dikenakan ke atasnya, SKY merayu kepada hakim Mahkamah Tinggi untuk mengetepikannya.
Peguam Ngeow Chow Ying mewakili pempetisyen manakala Peguam Kanan Persekutuan Rohaiza Hamzah mewakili responden.