Pembahagian kerusi PH-BN muktamad selewat Mac, kata Amirudin

Pembahagian kerusi PH-BN muktamad selewat Mac, kata Amirudin

PH akan mengadakan pertemuan dengan BN minggu depan bagi memutuskan perkara itu, kata menteri besar Selangor.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari yakin rakyat negeri itu tidak akan terpengaruh dengan sentimen perkauman dimainkan PN ketika mengundi pada PRN.
KUALA LUMPUR:
Isu pengagihan kerusi PRN Selangor antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan dimuktamadkan selewat-lewatnya awal bulan depan, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari.

Menurutnya, PH akan mengadakan pertemuan dengan BN minggu depan bagi memutuskan perkara itu.

“Untuk PH, kita sudah muktamadkan pembahagian kerusi sejak 2021. Sekarang bila ada elemen BN, maka kita akan mula rundinglah,” katanya ketika ditemui di Parlimen semalam.

“Dalam awal minggu depan, kita ada perjumpaan pertama dengan BN dan selepas itu rundingan akan dimulakan. Saya harap akhir Februari atau awal Mac boleh muktamad.”

 

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Ahmad Yunus Hairi berkata, beliau yakin Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang baik untuk menang pada PRN Selangor, sekali gus mengambil alih negeri itu daripada PH.

Walaupun perkara itu cuba dinafikan pihak lawan, beberapa faktor serta perkembangan mutakhir politik semasa ternyata menyumbang ke arah keyakinan itu.

Yunus turut merujuk keputusan PRU15 yang menyaksikan calon PH kecundang di enam kerusi Parlimen, malah BN gagal menang walau satu kerusi pun di Selangor.

Mengulas lanjut, Amirudin yakin rakyat negeri itu tidak akan terpengaruh dengan sentimen perkauman dimainkan PN.

“Kalau kita agihkan kerusi berdasarkan keputusan DUN, Parlimen lepas, pada waktu ini kalau pilihan raya berjalan serentak, PH menguasai 40 kerusi, 14 PN, 2 BN.

“Maknanya berdasarkan keputusan pilihan raya yang terbaru, ada dinamika baharu yang mungkin memberi manfaat kepada kerajaan perpaduan dan juga PH di Selangor.

“Strategi yang saya tetapkan adalah memastikan kemenangan yang signifikan di Selangor. Keputusan pilihan raya lepas tidaklah begitu berpihak kepada PN kerana rakyat Selangor tidak mudah terpengaruh dengan retorik perkauman yang digunakannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.