Lynas nafi tahap radioaktif tinggi dalam air bawah tanah dekat loji

Lynas nafi tahap radioaktif tinggi dalam air bawah tanah dekat loji

Lynas berkata, seperti yang dinyatakan dalam laporan RIA, ia masih dalam garis panduan air minum Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Dunia.

Dakwaan mengatakan tahap radioaktif tinggi ditemui dalam air bawah tanah dekat loji Lynas di Gebeng tidak benar, kata Pengurus Besar Keselamatan Radiasi Lynas Malaysia, Ismail Bahairi.
KUALA LUMPUR:
Lynas menafikan tahap radioaktif tinggi ditemui dalam air bawah tanah dekat lojinya di Gebeng, Kuantan.

Pengurus Besar Keselamatan Radiasi Lynas Malaysia, Ismail Bahairi berkata berdasarkan laporan penilaian impak radiologi (RIA) bagi fasiliti pelupusan kekal, tiada perbezaan signifikan kepekatan radionuklida dalam air bawah tanah atau ikan dekat loji itu, sepanjang 10 tahun syarikat tersebut beroperasi.

“Ini berdasarkan bukti saintifik daripada data pemantauan yang direkodkan sebelum Lynas Malaysia memulakan operasi di Gebeng dan 55 pusingan pemantauan bebas dalam sembilan tahun Lynas Malaysia beroperasi,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu menyusul laporan media tempatan mengenai kehadiran radionuklida dekat loji Lynas di Gebeng yang disifatkan syarikat itu sebagai berat sebelah dan mengelirukan.

“Menyatakan Lynas menemui tahap radioaktif tinggi dalam air bawah tanah tidak benar. Seperti dinyatakan laporan RIA, kepekatan radionuklida bagi air bawah tanah masih dalam garis panduan air minum Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Dunia.”

Katanya, laporan RIA itu sebahagian daripada laporan penilaian impak alam sekeliling (EIA) yang dilakukan pakar, termasuk Sahabat Alam Malaysia dan dipaparkan kepada orang awam lebih kurang setahun bagi membolehkan mereka memberi pandangan.

Beliau berkata, laporan EIA itu turut mengandungi maklum balas pakar tempatan dan antarabangsa, selain diperakui Jabatan Alam Sekitar.

Menurut laporan EIA, katanya, tiada perbezaan signifikan dalam radionuklida ikan yang ditangkap di dalam dan luar Kolam Takungan Air Ribut Lynas di Sungai Balok, justeru kenyataan mendakwa Lynas menemui elemen radioaktif tidak tepat dan mengelirukan.

“Lynas beroperasi secara selamat lebih 10 tahun, selaras peraturan Malaysia dan amalan terbaik antarabangsa, termasuk dua pemeriksaan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang mendapati Lynas berisiko rendah dan mematuhi peraturan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.