Bekas pemimpin Bersatu kembali ke pangkuan Umno

Bekas pemimpin Bersatu kembali ke pangkuan Umno

Bekas naib presiden Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen diterima semula menyertai Umno berkuatkuasa pada 18 Mac ini.

Bekas naib presiden Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen keluar parti itu kerana didakwa tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Tangga Batu pada PRU15 lalu.
PETALING JAYA:
Bekas naib presiden Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen yang mengumumkan keluar parti itu Oktober tahun lalu akhirnya kembali ke pangkuan Umno.

Bagaimanapun, penerimaan bekas Adun Paya Rumput dalam Umno hanya berkuatkuasa pada 18 Mac ini selepas diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu semalam.

“Saya dan rakan telah membuat keputusan untuk tidak bersama Bersatu dan menyokong Umno sebelum PRU15 ketika kita belum tahu parti mana bakal mentadbir negara.

“Pada masa sama, saya mahu membantu dan berjuang bersama parti lama dan bukannya disebabkan kedudukan Umno dalam kerajaan perpaduan,” katanya di Facebook.

Mengulas lanjut, Rafiq berkata, beliau menghantar permohonan menyertai Umno beberapa minggu lalu selepas berbincang dengan rakan dan ahli keluarganya.

“Jutaan terima kasih kepada kepimpinan Umno kerana memberi peluang untuk saya kembali berjuang,” katanya yang juga bekas Exco Melaka ketika era kerajaan Pakatan Harapan.

Pada 30 Okt tahun lalu, Rafiq mengumumkan keluar Bersatu serta-merta kerana didakwa tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Tangga Batu pada PRU15.

Dalam pada itu, Rafiq menyifatkan kepulangannya ke pangkuan Umno sebagai ketentuan Ilahi walaupun keputusan diambil dianggap tidak popular oleh sesetengah pihak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.