‘Balai Bukit Damansara’ dah tutup, polis nafi tak boleh buat repot

‘Balai Bukit Damansara’ dah tutup, polis nafi tak boleh buat repot

Pengguna Twitter mendakwa ada kemalangan di Bukit Damansara dan mangsa tidak dibenarkan membuat laporan di 'balai Bukit Damansara' serta diminta ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail atau IPD.

Polis berkata ‘balai Bukit Damansara’ ditutup dan diambil alih Syarikat Kawalan Keselamatan Sri Lara pada 2011.
KUALA LUMPUR:
Polis menafikan dakwaan seorang lelaki bahawa terdapat mangsa kemalangan di Bukit Damansara tidak dibenarkan membuat laporan di sebuah balai polis di kawasan itu.

Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, berkata pihaknya mengesan satu ciapan dimuat naik pada 9.58 malam tadi menggunakan akaun Twitter dikenali sebagai @ManiamMKM.

Pengguna Twitter itu mendakwa terdapat satu kemalangan berlaku di kawasan Bukit Damansara dan mangsa tidak dibenarkan membuat laporan di “balai Bukit Damansara” serta diminta untuk pergi ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail atau IPD.

Amihizam berkata, hasil siasatan mendapati “balai Bukit Damansara” yang dimaksudkan adalah pondok polis komuniti di Bukit Damansara yang ditutup sejak 2010 dan tidak beroperasi lagi.

“Pondok berkenaan telah diambil alih Syarikat Kawalan Keselamatan Sri Lara pada 2011. Ciapan itu satu fitnah dan polis akan membuat satu laporan berkaitan kes itu.

“Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Amihizam menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber sahih dan tepat daripada polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.