Simpanan median KWSP kaum Melayu turun RM5,500, kata Ahmad Maslan

Simpanan median KWSP kaum Melayu turun RM5,500, kata Ahmad Maslan

Timbalan menteri kewangan berkata itu antara punca utama pengeluaran kali ini tidak dibenarkan kerajaan.

Sebelum ini kerajaan membenarkan pengeluaran i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas KWSP.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata simpanan median Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kaum Melayu turun kepada RM5,500 susulan pengeluaran selepas Covid-19.

“Ini antara punca utama kenapa pengeluaran ini tidak lagi dibenarkan,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Beliau berkata, simpanan median semua kaum pada 2019 sebelum wabak itu ialah RM16,600, bagaimanapun selepas pengeluaran pada 2022, jumlahnya menurun kepada RM8,100.

“Penurunan median simpanan pencarum Melayu adalah paling tinggi dari RM16,900 pada April 2020 kepada RM5,500 pada 2022,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata sebanyak RM145 bilion dikeluarkan sejak wabak itu.

“Penyusutan median simpanan semua ahli KWSP iaitu RM8,100 pada 2022, berkurang 50% berbanding median simpanan sebanyak RM16,600 pada tahun 2019 (sebelum mana-mana pengeluaran berkaitan Covid-19),” katanya.

“Sebanyak 6.7 juta (51.5%) daripada 13.1 juta ahli berumur bawah 55 tahun kini mempunyai simpanan RM10,000 dan kurang berbanding 4.7 juta ahli pada April 2020,” katanya.

Sebelum ini kerajaan membenarkan pengeluaran i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin memberitahu kerajaan supaya mempertimbangkan pemberian sekali lagi pengeluaran KWSP secara bersasar.

“Apalah salahnya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu adalah kehendak rakyat bagi membantu meringankan beban mereka di kala susah ini?

“Begitu juga dengan moratorium pinjaman bank. Bank-bank terus membuat untung walaupun ketika negara berhadapan dengan krisis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.