Siasatan lanjut selepas dapatan PAC bukan luar biasa, kata bekas pengerusi

Siasatan lanjut selepas dapatan PAC bukan luar biasa, kata bekas pengerusi

Wong Kah Woh berkata, tindakan susulan itu penting dalam mengukuhkan kedudukan PAC sebagai institusi semak imbang.

Wong Kah Woh berkata, siasatan lanjut laporan PAC bukan sesuatu yang asing bagi mana-mana pihak, termasuk kerajaan, agensi audit atau pihak penguat kuasa.
KUALA LUMPUR:
Keputusan meneruskan siasatan lanjut meskipun Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan tatacara kewangan yang dibenarkan Kementerian Kewangan berkaitan perolehan vaksin Covid-19 bukan perkara luar biasa.

Bekas pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata tidak asing bagi mana-mana pihak, termasuk kerajaan, agensi audit atau pihak penguat kuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap mana-mana isu yang dibentangkan dalam laporan PAC di Parlimen.

“Tindakan susulan sebegitu penting dalam mengukuhkan kedudukan PAC sebagai institusi semak imbang yang penting,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, jawatankuasa PAC yang bakal ditubuhkan Parlimen boleh mempertimbangkan untuk membuat keputusan sama ada hendak mengadakan prosiding bagi siasatan lanjut isu perolehan vaksin Covid-19.

“(Ia) dengan berpaksikan penemuan kertas putih yang bakal dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Kenyataan menyusul Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang menegaskan kredibiliti PAC menerusi penerbitan laporan isu perolehan vaksin Covid-19 yang sepatutnya dipersoalkan, bukannya Kementerian Kesihatan.

Ini kerana, katanya, PAC sudah mengadakan prosiding dan memutuskan dalam laporan setebal 521 muka surat bahawa perolehan vaksin dibuat secara teratur.

Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, perolehan vaksin Covid-19 dibuat tidak mengikut peraturan.

Susulan itu, beliau mengarahkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa membuat pembentangan kertas putih perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan serta tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.

Wong pada Disember 2021 berkata, urusan perolehan vaksin dilaksanakan secara teratur mengikut tatacara kewangan yang dibenarkan Kementerian Kewangan dan PAC berpuas hati dengan harga perolehan vaksin daripada pelbagai portfolio oleh kerajaan, yang didapati munasabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.