
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata dengan skor 69.9%, prestasi itu boleh disifatkan “tidak terlalu buruk” memandangkan negara dilanda wabak Covid-19 sebelum ini.
Malah, Malaysia dalam kategori tidak menerima sebarang bantuan makanan daripada pihak luar seperti agensi bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), walaupun berdepan pelbagai kekangan dalam tempoh itu.
“Dalam keadaan dua tahun hadapi pandemik, kita masih boleh berdikari,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang meminta kerajaan menyatakan langkah meningkatkan semula kedudukan Malaysia dalam GFSI 2022.
Pada 2021, laporan tahunan diterbitkan Unit Perisikan Ekonomi (EIU) itu menunjukkan Singapura dan Malaysia masing-masing berada di tangga ke-15 dan 39.
Kedudukan ini mengambil kira sistem rantaian dan faktor lain membabitkan bekalan berdasarkan konsep keselamatan makanan seperti diperkenalkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB.
Mohamad berkata secara keseluruhan masih terdapat ruang untuk meningkatkan kedudukan dalam GFSI bagi tempoh seterusnya, terutama bagi kategori “kelestarian” dan “adaptasi” yang dikelaskan sebagai “lemah” dengan skor 53.7%.
“Tindakan susulan oleh kerajaan tidak hanya bertujuan mengukuhkan kedudukan negara dalam GFSI tetapi memastikan sistem makanan kekal berdaya tahan dalam pelbagai keadaan,” katanya.
Sejak tahun lalu, pengguna merungut susulan kekurangan bekalan makanan asas antaranya telur dan ayam yang kini masih tidak selesai sepenuhnya.