
Antara pembaziran direkodkan melibatkan RM14 juta merangkumi kad lesen memandu tidak digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid, berkata sejumlah RM17.7 juta pula melibatkan pembayaran tidak teratur dibuat polis kerana tidak mengikut kontrak.
Pembayaran tidak teratur itu berkaitan bayaran perkhidmatan mencetak dan pengeposan notis saman polis.
Syarikat berkaitan dengannya dikatakan melantik subkontraktor bagi melaksanakan kerja, tanpa mendapat kelulusan polis.
“Demi memelihara kepentingan kerajaan, polis mesti memastikan pembayaran dibuat mengikut perjanjian,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2.
Dalam pada itu, laporan itu mendedahkan kerugian wang awam melibatkan RM72 juta berkaitan syarat pemastautin dan pemilikan kenderaan tidak dipatuhi Jabatan Kastam, selain pengiraan duti eksais tidak tepat.
Nik Azman berkata, timbul keperluan menyemak semula terma bagi pembelian kenderaan dari pulau bebas cukai.
“Ketua jabatan mesti memastikan pegawai menjalankan tanggungjawab mereka bertepatan dengan peraturan,” katanya.