‘Putar belit’ kenyataan berkait perkhidmatan awam, Ramasamy akan saman 2 portal

‘Putar belit’ kenyataan berkait perkhidmatan awam, Ramasamy akan saman 2 portal

P Ramasamy berkata kenyataannya diputar belit dua portal berita sehingga menyebabkannya 'diserang' beberapa individu politik.

P Ramasamy berkata kenyataan asalnya adalah komen terhadap pandangan premier Sarawak dan ahli kumpulan bekas pegawai kanan kerajaan (G25) mengenai reformasi perkhidmatan awam.
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua portal berita yang menyiarkan kenyataannya berkaitan perkhidmatan awam, baru-baru ini.

Beliau berkata, kenyataannya diputar belit oleh dua portal berita berkenaan sehingga menyebabkannya “diserang” oleh beberapa individu politik.

“Saya telah mengkaji beberapa laporan media dan mendapati dua daripada portal berita tempatan melaporkan berita dengan memutarbelitkan kenyataan saya.

“Kedua-dua portal tersebut melaporkan bahawa saya minta ‘dominasi orang Melayu dalam perkhidmatan awam dipecah’.

“Selepas laporan berita tersebut disiarkan, saya diserang oleh beberapa individu politik,” katanya dalam kenyataan.

Ramasamy berkata, kenyataan asalnya adalah komen beliau terhadap pandangan Premier Sarawak Abang Johari Openg dan ahli kumpulan bekas pegawai kanan kerajaan (G25), Noor Farida Ariffin mengenai reformasi perkhidmatan awam.

“Bagaimanapun, kenyataan itu dijadikan satu isu apabila ianya diputarbelit oleh dua portal berita berkenaan.

“Saya lihat semua komen terhadap saya adalah berdasarkan laporan berita tersebut dan bukannya artikel saya,” katanya.

Beliau berkata, media seharusnya bertanggungjawab dalam laporan mereka dan bukannya memutarbelit sesuatu kenyataan.

“Saya menghormati prinsip kebebasan bersuara dan kebebasan media, tetapi media juga harus bertanggungjawab dalam laporan mereka.

Memutarbelitkan kenyataan saya untuk memberikan nada perkauman adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.