
Dalam jawapan bertulis kepada Parlimen, Nga berkata setakat 31 Jan, terdapat 429 projek melibatkan 70,727 dikategorikan sebagai projek sakit.
Projek sakit merujuk kepada pembangunan yang ketinggalan dari jadual sebanyak 30% atau masa dijanjikan untuk serahan milikan kosong luput.
Nga berkata, kerajaan akan membekukan akaun pembangunan pemaju yang terlibat dalam projek sakit untuk membendung “pengeluaran dana secara tidak bertanggungjawab”.
Beliau menghuraikan apa dikatakan sebagai “pengeluaran yang tidak bertanggungjawab”.
Pemaju perlu meletakkan deposit 3% dengan kerajaan sebagai sebahagian daripada keperluan pelesenan untuk projek mereka.
Deposit 3% adalah berdasarkan kos pembangunan kasar keseluruhan projek dan akan dikembalikan apabila projek siap.
Nga berkata, kerajaan juga akan menyenaraihitamkan pemaju projek sakit dan ahli lembaga pengarahnya, dan melarang mereka daripada memohon lesen untuk projek masa depan.
Larangan itu hanya akan ditarik balik apabila mereka menyelesaikan projek berkenaan.
Nga berkata, kementeriannya juga akan mengisytiharkan tapak pembangunan sebagai “terbengkalai” bawah undang-undang perumahan jika tiada kemajuan untuk tempoh lama.
Katanya, kerajaan akan mengadakan libat urus dengan pemegang taruh berhubung projek sakit.
“Kami juga akan mengadakan perbincangan untuk semua pemaju di Semenanjung untuk mengingatkan mereka tentang tanggungjawab sebagai pemaju perumahan berlesen dan menggalakkan penggunaan sistem bangunan industri untuk mempercepatkan penyiapan projek pada kos lebih rendah tanpa menjejaskan kualiti pembinaan,” katanya yang menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong mengenai projek sakit.