Buktikan secara saintifik jika benar Menu Rahmah berkualiti rendah

Buktikan secara saintifik jika benar Menu Rahmah berkualiti rendah

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung susulan dakwaan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali bahawa Menu Rahmah bermutu rendah.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, Dr Halimah Ali perlu memohon maaf jika tidak dapat membuktikan dakwaannya.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali diminta membuktikan secara saintifik dakwaannya berhubung Menu Rahmah berkualiti rendah dan mungin juga menyebabkan penyakit seperti kanser dan autisme.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, Halimah perlu membuat permohonan maaf kepada umum, sekiranya tidak dapat membuktikan dakwaan yang dibuatnya di Dewan Rakyat semalam.

“Saya terkilan Halimah sebagai seorang doktor bertauliah boleh mengeluarkan kenyataan tidak sepadan dengan kelayakan dan kepakarannya.

“Seluruh dunia ambil maklum makanan tidak mengakibatkan autisme, sebaliknya ia ditentukan DNA dan sewaktu lahir,” katanya dalam kenyataan.

Memetik hansard Dewan Rakyat, Halimah ketika berucap di Parlimen kelmarin mengingatkan kerajaan tidak menyediakan makanan berkualiti rendah.

“Kita tidak mahu ‘shortcut’ (jalan pintas), kita tidak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang ‘low quality’ (berkualiti rendah).

“Saya tidak ada masalah dengan istilah ‘rahmah’ atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang ‘low quality’ dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, ‘autoimmune disease’ (penyakit autoimun), kepada autisme dan sebagainya,” kata bekas exco Selangor itu.

Kenyataan beliau itu merujuk inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan makanan lengkap dengan nutrien pada harga maksimum RM5.

Lee berkata, kementerian sudah tentu akan mengambil tindakan sekiranya dakwaan bekas exco Selangor itu benar.

Bagaimanapun, pada masa sama, Lee mengingatkan pemimpin Perikatan Nasional itu tidak bersangka buruk dan mencemarkan imej program tersebut tanpa fakta dan bukti sahih.

Beliau turut meminta Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan persatuan penjaja di seluruh negara mendapatkan penjelasan Halimah bagi memulihkan imej mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.