
Menurut peguam mewakili Puad, Shahrul Fazli Kamarulzaman, tempoh bicara selama lima hari itu diputuskan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Haslinda A Raof pada pengurusan kes secara dalam talian hari ini.
“Ketika pengurusan kes itu, ada permohonan defendan (Puad) untuk meminda pernyataan pembelaan berkenaan kandungan 58, manakala plaintif (Muhyiddin) memohon meminda pernyataan tuntutan berkenaan kandungan 61.
“Pendengaran kandungan terbabit akan didengar pada jam 9 pagi, 11 April ini menerusi aplikasi Zoom,” katanya menurut Berita Harian.
Puad turut diwakili peguam, Intan Hanis Afiqah Razali manakala Tan Chee Khoon mewakili Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai peguamnya.
Dalam writ saman yang difailkan atas kapasiti peribadi, Muhyiddin mendakwa pada 8 Feb tahun lalu, Puad menerbitkan satu hantaran di laman Facebook di bawah nama “Dr Puad Zarkashi” bertajuk “Kuarantin pun ada dua darjat?”.
Pengerusi PN mendakwa hantaran itu boleh diakses pengguna internet seluruh dunia dan menerima 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.
Hantaran itu merujuk “PM”, singkatan kepada perdana menteri dan mengandungi kenyataan tidak benar, tidak wajar, tidak berasas, jahat serta memfitnah beliau.
Muhyiddin mendakwa, kenyataan itu membawa maksud beliau dan rombongannya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari selepas pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia.