Belanja RM31 juta kendali kes mahkamah kumpulan Sulu

Belanja RM31 juta kendali kes mahkamah kumpulan Sulu

Azalina Othman Said berkata, jumlah itu melibatkan kos perkhidmatan peguam antarabangsa, prosiding mahkamah, terjemahan, penyelidikan sejarah dan perundangan.

Azalina Othman Said berkata, keputusan permohonan rayuan kerajaan Malaysia terhadap perintah mahkamah Perancis bertarikh 29 Sept 2022 dijangka dikeluarkan Jun ini.
KUALA LUMPUR:
Kira-kira RM31 juta dibelanjakan kerajaan bagi pengendalian kes mahkamah di empat negara menghadapi tuntutan difailkan kumpulan Sulu terhadap Malaysia bermula 20 Nov 2019 hingga 20 Jan lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said memaklumkan jumlah itu melibatkan kos perkhidmatan peguam antarabangsa, prosiding mahkamah, terjemahan, penyelidikan sejarah dan perundangan.

“Secara khususnya, fi guaman dan bayaran saja sebanyak RM36,000 (2019), RM167,000 (2020), RM8.2 juta (2021), RM13.5 juta (2022) dan RM5.4 juta (2023) bagi pengendalian kes mahkamah di empat negara, iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda,” katanya menerusi jawapan disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung kos guaman dalam tuntutan kumpulan Sulu terhadap Malaysia.

Selain itu, Azalina memaklumkan keputusan permohonan rayuan kerajaan Malaysia terhadap perintah mahkamah Perancis bertarikh 29 Sept 2022 dijangka dikeluarkan Jun ini, dengan pendengaran permohonan rayuan itu berlangsung 6 Feb lalu di Mahkamah Rayuan Perancis.

Sebelum ini, kumpulan Sulu dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa dipajak nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Pada 28 Feb 2022, penimbang tara Dr Gonzalo Stampa dilapor memberikan final award kepada penuntut sebanyak USD14.92 bilion.

Bagaimanapun, Mahkamah Perancis menangguhkan penguatkuasaan final award itu sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung semua tindakan perundangan yang diambil kerajaan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.