Ambil gambar wanita mandi, lelaki didenda RM4,500

Ambil gambar wanita mandi, lelaki didenda RM4,500

Tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan wanita berusia 28 tahun dengan mengambil gambar dan video mangsa mandi di sebuah unit pangsapuri pada 3 pagi, 13 Jan lalu

Mohd Khalis Rusli mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengaibkan kehormatan wanita. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang penghantar makanan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mengambil gambar dan video seorang wanita mandi bulan lalu.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Khalis Rusli, 32, kerana mengaibkan kehormatan wanita berusia 28 tahun dengan mengambil gambar dan video mangsa sedang mandi melalui telefon bimbit di tingkat sembilan sebuah unit pangsapuri di Jalan Tasik Permaisuri, pada 3 pagi, 13 Jan lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Khalis, yang tidak diwakili peguam, merayu denda paling minimum kerana dia baru sahaja mendapat kerja awal bulan ini dan perlu menanggung ibu bapa serta adik-beradiknya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana tindakannya mengaibkan mangsa selain perlu mengambil kira keselamatan masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.