Siling runtuh, sebahagian Queensbay Mall ditutup

Siling runtuh, sebahagian Queensbay Mall ditutup

Pusat beli-belah terbesar di Pulau Pinang itu diminta menghubungi perunding bagi memeriksa bangunan susulan insiden malam tadi.

Tangkap layar rakaman video menunjukkan runtuhan siling di Queensbay Mall.
GEORGE TOWN:
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan pusat beli-belah terbesar di negeri itu menutup sebahagian kawasan terjejas dengan runtuhan siling akibat hujan lebat malam tadi.

Video kejadian di Queensbay Mall itu dirakam orang awam yang sedang merakam laluan pejalan kaki dinaiki air di tingkat tiga pusat beli-belah berkenaan.

Video itu merakam bahagian 10m papan siling runtuh.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian 11.10 malam itu kerana kebanyakan kedai sudah ditutup.

“Kami mengarahkan pemilik bangunan mendapatkan perunding untuk memeriksa kawasan itu bagi menentukan punca siling runtuh,” kata jurucakap MBPP kepada FMT.

Katanya, notis gangguan dikeluarkan kepada pemilik pusat membeli-belah itu yang mengarahkan mereka menutup kawasan terjejas.

Queensbay Mall dalam kenyataan berkata, hujan lebat menyebabkan air melimpah ke bahagian pusat beli-belah itu, menjejaskan beberapa kedai di zon selatan tingkat tiga.

“Kawasan terjejas telah dibersihkan dan semua penyewa beroperasi seperti biasa hari ini,” kata pusat beli-belah itu sambil menambah satu bahagian terjejas di aras tiga ditutup sementara.

Sementara itu, seorang pegawai kerajaan negeri mendedahkan kawasan Bayan Lepas yang juga lokasi terletaknya pusat beli-belah itu, mencatatkan hujan hampir 70mm sejam malam tadi. Kawasan itu menerima kira-kira 200mm hujan setiap bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.