
Peguam Gobind Singh Deo memberitahu mahkamah, pihak pembelaan sedang mendapatkan nota prosiding dalam kes penipuan di Mahkamah Sesyen Shah Alam melibatkan bakal saksi, G Gnanaraja.
Gnanaraja didakwa pada 2019 kerana menipu ahli perniagaan Zarul Ahmad Mohd Zulkifli membabitkan sejumlah RM19 juta.
Zarul kini berada di kandang saksi, manakala Gnanaraja turut disenaraikan sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan Lim.
“Kami menghubungi Mahkamah (Sesyen) Shah Alam pagi ini dan mereka memberitahu kami bahawa (permintaan itu) sedang diproses,” kata Gobind.
Beliau berkata, semasa perbicaraan Gnanaraja, mahkamah mendengar bahawa sejumlah RM2 juta dibayar kepada “pihak ketiga”, bukan kepada Lim.
“(Perbualan) WhatsApp itu penting untuk menunjukkan pihak pendakwaan menyembunyikan keterangan ini daripada kami,” katanya.
Gobind meminta penangguhan dua minggu untuk membenarkan pihak pembelaan mendapatkan nota prosiding supaya permohonan penzahiran tersebut dapat ditangani dengan betul.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihak pendakwaan tidak membantah penangguhan itu.
Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk meminta Zarul 10% keuntungan projek jalan raya dan terowong itu.
Bekas menteri kewangan itu juga didakwa meminta sogokan RM3.3 juta untuk melantik syarikat Zarul menjalankan projek berkenaan.
Dia juga menghadapi dua tuduhan dengan curang menyebabkan dua bidang tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta dilupuskan kepada dua syarikat.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung pada 1 Mac.