
Mereka berkata kekurangan akses serta penyelarasan menunjukkan perancangan lemah dalam sistem pengangkutan.
Perunding pengangkutan, Rosli Azad Khan, berkata perkhidmatan seperti LRT, MRT, dan KTM hanya tersedia di kawasan Lembah Klang sahaja, selain ditempatkan di kawasan koridor tertentu.

“Itulah sebabnya orang ramai cenderung membeli kereta walaupun melibatkan kos,” katanya kepada FMT.
Bulan lalu, Persatuan Automotif Malaysia, berkata sejumlah 720,658 kenderaan terjual pada 2022, peningkatan 41.6% berbanding 2021.
Rosli mendakwa Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) lemah dalam merancang pengangkutan awam dan gagal menangani keperluan orang ramai.
“Pihak berkuasa tempatan sepatutnya bertanggungjawab merancang pengangkutan awam bagi kawasan bandar di luar Lembah Klang kerana mereka lebih mengetahui permintaan di kawasan masing-masing,” katanya.
“Apad tiada kemampuan atau kepakaran melaksanakan kajian bersendirian bagi kawasan terbabit.”
Bekas ketua dasar dan perancangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Wan Agyl Hassan, berkata perancangan pengangkutan awam dibelenggu kelemahan penyelarasan dan persepaduan pelbagai mod pengangkutan.
Beliau menyatakan kurangnya kesalinghubungan stesen perkhidmatan rel membabitkan MRT, LRT, dan KTM.

“Berlaku kelemahan penyelarasan menghubungkan stesen MRT dengan LRT dan KTM,” katanya. “Ini susulan reka bentuk buruk dan mengabaikan keperluan pejalan kaki, seperti laluan pejalan kaki dan kaki lima.”
Wan Agyl menggesa penambahbaikan prasarana dan dasar termasuk program demi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, seperti subsidi tambang, penguatkuasaan caj kesesakan atau bayaran jalan, dan galakan berjalan serta berbasikal.
Beliau berkata, penyelesaian mudah mengelak kebergantungan kepada kereta boleh dilakukan menerusi penyediaan akses pada harga berpatutan, termasuk menggalakkan mod alternatif pengangkutan.
“Bagi mengelak masalah berulang pada masa depan, pelan komprehensif bagi pengangkutan awam mesti dibangunkan mengambil kira keperluan dan kehendak semua pengguna, termasuk warga emas, orang kurang upaya, dan keluarga berdepan kekangan kewangan,” katanya.
Katanya, pelan itu juga perlu menyediakan laluan khas bas, maklumat jadual masa nyata, kemudahan tempat letak kereta dan perjalanan serta infrastruktur mesra pejalan kaki.
Beliau berkata, penting melibatkan orang awam dalam proses perancangan demi menjamin keperluan semua pihak dipenuhi.