
Hakim Azizul Azmi Adnan berkata, A Ananthagopi, 40, berjaya membuktikan tuntutannya terhadap A Jeinthan dan kerajaan atas dasar imbangan kebarangkalian.
“Saya memerintahkan ganti rugi untuk penahanan salah bagi tempoh 10 hingga 22 Oktober ketika berada dalam tahanan polis,” kata Azizul dalam penghakimannya.
Bagaimanapun, beliau memutuskan menteri dalam negeri, ketua polis negara, ketua polis Negeri Sembilan dan ketua bahagian siasatan jenayah komersial negeri tidak terlibat dengan sebarang salah laku.
Dalam penghakiman lisannya, Azizul memerintahkan defendan membayar ganti rugi am RM180,000 kepada Ananthagopi, iaitu RM15,000 sehari bagi 12 hari penahanannya secara salah.
Ananthagopi yang diwakili Karthigesan Shanmugam, Kanagavalli Krishnamoorthy dan AR Thamayanthy, memohon ganti rugi kerana penahanan salah antara 10 Oktober hingga 10 November.
Beliau turut memerintahkan Ananthagopi dibayar ganti rugi teladan berjumlah RM45,000 selepas mendapati tindakan Jeinthan didorong niat jahat.
Ananthagopi turut diberi kos sebanyak RM30,000.
Dalam pernyataan tuntutan difailkan pada 28 Disember 2020, Ananthagopi berkata beliau memasuki negara ini pada 7 Mac 2020 dan sepatutnya pulang ke India pada 23 Mac tahun sama.
Bagaimanapun beliau tidak dapat kembali ke negaranya disebabkan sekatan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan bermula 18 Mac 2020.
Ketika itu, Putrajaya mengumumkan moratorium sehingga 31 Disember dan menjanjikan bahawa tindakan tidak akan diambil terhadap warga asing yang tinggal melebihi had dibenarkan.
Ananthagopi ditahan pada 10 Oktober bagi siasatan kes curi di satu kuil di Rantau, sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson pada 22 Oktober kerana tinggal di negara ini melebihi waktu dibenarkan.
Dia mengaku tidak bersalah dan ditahan di penjara Sungai Udang, Melaka sehingga 10 November. Pada tarikh itu dia dibebaskan majistret disebabkan moratorium kerajaan.
Dia memfailkan saman menerusi Tetuan Karthig Shan tetapi meninggalkan negara ini tidak lama selepas itu.
Defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Amalina Zainal Mokhtar.