Menu Rahmah dilaksana di R&R PLUS, kata Nanta

Menu Rahmah dilaksana di R&R PLUS, kata Nanta

Menteri kerja raya berkata, PLUS sudah membincangkan cadangan itu dengan pengusaha gerai makan di R&R.

Alexander Nanta Linggi berharap penyediaan Menu Rahmah di R&R PLUS akan memanfaatkan pengguna lebuh raya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Program Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 akan dilaksanakan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dalam masa terdekat.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata cadangan pelaksanaan program yang bakal memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya itu, telah dibincangkan pihak PLUS dengan penguesaha gerai makan di R&R.

“Sebagai tanda sokongan kepada program Menu Rahmah yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, saya hari ini mengusulkan kepada pihak PLUS untuk bersama-sama kerajaan dalam usaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“PLUS secara amnya telah bersetuju dengan cadangan ini,” katanya dalam catatan di Facebook.

Catatan itu menyusul pertemuannya dengan 32 syarikat konsesi serta pihak berkepentingan lebuh raya bertol di Malaysia hari ini.

Nanta berkata, perancangan lebih konkrit akan disediakan PLUS berhubung pelaksanaan program itu.

Beliau menyuarakan penghargaan kepada PLUS atas kerjasama yang diberikan dan berharap penyediaan Menu Rahmah di R&R akan memanfaatkan pengguna lebuh raya.

Dalam pada itu, Nanta berkata, beliau menggunakan kesempatan pertemuan itu untuk maklum balas berkaitan pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa henti di lebuh raya atau Multi Lane Fast Flow (MLFF).

Secara keseluruhannya, beliau berkata, semua pemain industri menyambut baik pelaksanaan MLFF, dengan beberapa perkara berhubung sistem itu sedang diperhalusi bagi memastikan perkhidmatan terbaik buat pengguna.

“Perkara ini saya akan kongsikan sedikit masa lagi,” katanya yang turut berkongsi beberapa gambar pertemuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.