
Beliau yang juga naib ketua Umno bahagian itu turut mengesahkan tidak akan bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat, sekali gus menepis khabar angin mengatakan beliau akan merebut jawatan ketua Pemuda.
“Saya tidak akan menawarkan diri untuk jawatan pada peringkat pusat tetapi dengan rasa penuh rendah diri, ingin menawarkan diri bagi jawatan ketua Umno Bahagian Simpang Renggam pada pemilihan penggal ini.
“Saya akan memberi fokus kepada pentadbiran dan pembangunan di kawasan saya dan seluruh Johor,” katanya menurut Berita Harian.
Akar umbi Umno Simpang Renggam kelmarin dilaporkan meminta Onn Hafiz bertanding merebut jawatan ketua Pemuda untuk mengembalikan maruah parti.
Ia lebih-lebih lagi beliau cicit kepada pengasas dan bukan nama asing kerana terbabit secara langsung dalam Umno sejak 2013.
Selain itu, Onn Hafiz yang juga Adun Machap berharap keputusannya dihormati semua pihak.
“Saya telah membuat keputusan untuk terus memberi fokus khidmat bakti kepada Johor. InsyaAllah, saya akan terus berusaha mengukuhkan pentadbiran dan pembangunan Johor,” katanya.