
Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) berkata, arahan itu mesti tertakluk kepada semua petugas di setiap peringkat.
Cadangan itu menyusul kejadian di Hospital Kampar Ahad lalu, di mana seorang wanita mendakwa dinafikan rawatan kerana berseluar pendek.
“Tugas kita sebagai pengamal kesihatan adalah menyelamatkan nyawa dan tidak membahayakan sesiapa saja, tanpa mengira kepercayaan, warna kulit dan status kewarganegaraan mereka.
“Saya tidak mahu melihat tindakan sesetengah individu merosakkan kerja baik majoriti yang lain. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” kata Ahli Parlimen DAP itu ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Wanita berusia 21 tahun itu dilaporkan ke jabatan kecemasan Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan bagi senggugut dan darah tinggi pada 11 malam Ahad lalu.
Setibanya di hospital itu, dia yang berseluar pendek dimaklumkan seorang petugas yang pakaiannya tidak sesuai dan diminta menukar seluar panjang sebelum dibenarkan memasuki bilik kecemasan.
Semalam, kerajaan Perak dilaporkan berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan pesakit itu.