
Wong Chen (PH-Subang) ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat berkata, penyenaraian Petronas akan memberi suntikan tunai besar bagi mengurangkan hutang negara, menyediakan lebih ketelusan kewangan dan tadbir urus lebih baik kepada syarikat minyak dan gas negara itu, sekali gus meningkatkan hasil fiskal keseluruhan bagi kerajaan.
“Saya percaya sekiranya Petronas diurus sebagai syarikat dengan piawaian tadbir urus antarabangsa yang tinggi, purata keuntungan syarikat itu akan melebihi RM60 bilion setahun dan boleh mencecah RM100 bilion setahun,” katanya dalam sesi perbahasan.
Beliau berkata, peningkatan itu boleh membantu mengurangkan hutang negara ke tahap lebih kurang 30% keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.
“Perkiraannya telah dibuat, kita akan lihat dengan penyenaraian Petronas, saham 20% yang dijual kepada awam, kita boleh menaikkan RM300 billion perolehan dan tingkatkan pendapatan tambahan kepada RM60 bilion setahun.
“Jika kita membayar (hutang) semua ini, hutang negara boleh diturunkan ke paras terkawal 30% KDNK, oleh itu saya menyeru kerajaan membuat kajian terperinci segera, sebelum faktor seperti perubahan iklim memudaratkan penilaian aset Petronas.”
Beliau turut mencadangkan kerajaan mengikut langkah bijak Arab Saudi melalui penyenaraian Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco) pada 2019.