
Katanya, semua rakyat Malaysia mempunyai peluang sama untuk dipertimbangkan dalam saingan terbuka dan adil.
SPA dalam kenyataan berkata, tiada kuota ditetapkan untuk kaum atau etnik tertentu bagi pelantikan semua jawatan dalam perkhidmatan awam.
“Calon yang berminat dan berkelayakan boleh memohon jawatan dalam talian melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA9) dan calon yang memenuhi syarat lantikan skim perkhidmatan bagi jawatan kosong akan dipanggil menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE).
“Calon yang melepasi PSEE akan melalui tapisan peringkat seterusnya seperti Ujian Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera dan Kecergasan (UFPK) atau Ujian Kecergasan dan Jasmani Kebangsaan (UKJK), Profession Assessment Centre (PAC) dan temu duga sebelum dilantik,” katanya.
Menurutnya, tapisan dibuat panel penilai bertauliah dan terlatih yang mahir menilai keupayaan fizikal, prestasi dan potensi setiap individu secara objektif.
Dalam pada itu, SPA berkata, ia sentiasa menjalin kerjasama strategik dengan agensi menguruskan hal ehwal masyarakat tertentu, seperti Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Inisiatif berterusan SPA seperti program libat urus, hari kerjaya, hari bertemu pelanggan dan program ‘outreach’ disasarkan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak terhadap tatakelola pengambilan SPA dan memberi panduan serta menggalakkan masyarakat pelbagai kaum menyertai perkhidmatan awam.
“Jalinan kerjasama dan program ‘outreach’ ini sekali gus meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai ketelusan proses pengambilan dan pemilihan calon berasaskan merit dan kompetensi.”
Katanya, temu duga secara maya turut dilaksanakan untuk memberi peluang kepada calon menghadiri temu duga walau di mana mereka berada.
Sebelum diperakukan untuk dilantik, calon perlu melepasi tapisan integriti melalui sistem yang diintegrasikan dengan maklumat Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan, polis, Jabatan Insolvensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy menerusi hantaran di Facebook, meminta kerajaan melaksanakan reformasi dalam sektor awam kerana menurutnya ia kini didominasi orang Melayu.
Ramasamy juga mahu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim segera menangani isu kitu dan memastikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik negara ini.