Kecurian unsur nadir bumi, SPRM panggil 6 pihak

Kecurian unsur nadir bumi, SPRM panggil 6 pihak

Pengarah SPRM Kedah, Shaharom Nizam Abd Manap berkata, hasil siasatan awal belum dapat dimaklumkan lagi.

Pengarah SPRM Kedah, Shaharom Nizam Abd Manap bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka yang dipanggil itu kerana siasatan sedang dijalankan. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil enam pihak bagi membantu siasatan berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Pengarah SPRM Kedah, Shaharom Nizam Abd Manap bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka yang dipanggil kerana siasatan sedang dijalankan.

“Ketika maklumat diterima berhubung kes itu, SPRM memang telah memulakan siasatan awal terlebih dahulu. SPRM membuat tindakan awal dengan menjalankan temu bual bersama lima hingga enam pihak bagi membantu siasatan berhubung REE ini.

“Buat masa ini, hasilnya belum dapat dimaklumkan dan tiada keputusan atau cadangan yang boleh diberikan kepada kerajaan negeri,” katanya ketika ditanya perkembangan kes kecurian REE di hutan simpan itu.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pemantauan REE Kedah turut mengadakan mesyuarat pada minggu lalu bagi membincangkan perkara berkaitan REE dan maklum balas setiap agensi yang mungkin terlibat dalam urusan itu akan diperoleh 20 Feb ini.

“Apabila timbul isu REE ini, SPRM mencadangkan pihak setiausaha kerajaan negeri (SUK) mengaktifkan jawatankuasa itu bersama Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (Jitu) dengan memanggil agensi berkenaan untuk tindakan dan perbincangan.

“Antara agensi yang dikenal pasti itu adalah Jabatan Hutan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar, Syarikat Air Darul Aman (Sada) dan mungkin ada beberapa tambahan agensi lain lagi selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, SPRM tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat berkaitan siasatan yang dijalankan sehingga ia diputuskan di mahkamah kelak.

Baru-baru ini, media melaporkan 52 individu ditahan Jabatan Perhutanan Kedah kerana dipercayai melakukan kegiatan penerokaan REE secara haram di hutan simpan itu.

Dalam perkembangan lain, Shaharom Nizam berkata, pihaknya tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam siasatan kes dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang exco Kedah sebelum ini.

“Tiada unsur jenayah dalam kes ini dan ia lebih kepada soal pematuhan prosedur berkaitan penyampaian dana bantuan berkenaan. Kami mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk melakukan penambahbaikan dalam prosedur berkenaan. Siasatan berkaitan kes itu telah selesai,” katanya.

Terdahulu, Shaharom Nizam ditemui pada majlis persaraannya yang akan bersara wajib mulai esok. Beliau menyertai SPRM pada 1992 dan bersara selepas lebih 30 tahun berkhidmat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.