
Kecederaan dialami T Previin tidak membawa maut, tetapi mampu mengakibatkan masalah lebih teruk termasuk palsi saraf atau kecederaan vesel limfa, kata pakar Hospital Pulau Pinang S Sivanandhan.
“Kecederaannya serius dan memerlukan graf tulang. Jika pembedahan tidak dilakukan, kecederaannya pasti menjadi lebih teruk,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muna Jaafar.
Previin ada bersama T Nhaveen ketika remaja itu diejek kerana berperwatakan lembut oleh sekumpulan lelaki pada 2017.
Previin, 24, menegur perbuatan mereka itu menyebabkan kumpulan itu menyerangnya dan Nhaveen. Akibatnya Nhaveen koma sebelum meninggal dunia beberapa hari kemudian.
Menurut laporan perubatannya, Previin mengalami tiga retakan pada pipi kanan dan pembuluh darah pecah di mata kanan. Graf tulang dilakukan untuk merawat pipinya itu.
Previin dalam keterangannya sebelum ini berkata, beliau dipukul menggunakan topi keledar oleh enam orang termasuk lima tertuduh berkenaan.
Ketika soal balas, peguam bela Naran Singh menyoal Sivanandhan sama ada kecederaan dialami Previin berkemungkinan diakibatkan topi keledar atau tumbukan.
Sivanandhan menjelaskan, kecederaan itu secara umum diakibatkan trauma dipukul dengan alat tumpul seperti topi keledar atau tumbukan.
Beliau bagaimanapun bersetuju kecederaan dialami Previin lebih berkemungkinan disebabkan tumbukan kerana pukulan menggunakan topi keledar oleh enam individu berkemungkinan mengakibatkan kecederaan lebih teruk.
S Gopinaath, 30, J Ragesuthan, 22, S Gokulan, 22, dan dua pesalah juvana didakwa membunuh Nhaveen di satu taman di Jalan Bunga Raya, antara jam 11 malam dan 12 tengah malam pada 9 Jun 2017.
Mereka turut didakwa mengakibatkan kecederaan parah terhadap Previin berhampiran Karpal Singh Learning Centre di Bukit Gelugor pada malam sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Radzi Hamid bersambung pada 27 Mac ini.