Pesawat latihan lakukan pendaratan paksa di Jasin, tiada kemalangan jiwa dilaporkan

Pesawat latihan lakukan pendaratan paksa di Jasin, tiada kemalangan jiwa dilaporkan

Semasa kejadian terdapat seorang juruterbang dan seorang pelajar di dalam pesawat berkenaan.

Polis berkata, difahamkan pesawat itu dalam perjalanan pulang ke Malaysia Flying Academy yang berpangkalan di Batu Berendam, Melaka Tengah selepas melakukan latihan. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Sebuah pesawat latihan kendalian Malaysian Flying Academy (MFA) melakukan pendaratan paksa di Jasin, Melaka hari ini dipercayai akibat masalah teknikal.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Norazman Mahmud dalam kenyataan berkata semasa kejadian terdapat seorang juruterbang dan seorang pelajar di dalam pesawat itu.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Norazman berkata pesawat jenis Piper PA-28-181, 9MSKJ itu telah memohon kebenaran daripada Menara Kawalan Trafik Udara untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka namun membuat pendaratan kecemasan di Kilang Xinyi Energy Smart, Jasin pada 11.05 pagi.

Beliau berkata siasatan lanjut kejadian akan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Di Melaka, Pemangku Ketua Polis Jasin Mohd Fadzli Othman berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada 11.20 pagi daripada pekerja kilang terbabit.

“Difahamkan pesawat itu dalam perjalanan pulang ke MFA yang berpangkalan di Batu Berendam, Melaka Tengah selepas melakukan latihan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata juruterbang bersama pelatihnya tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes berkenaan diserahkan kepada CAAM untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.