Mana janji 2 minggu tangani kos sara hidup, Radzi soal kerajaan

Mana janji 2 minggu tangani kos sara hidup, Radzi soal kerajaan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini menjanjikan tempoh dua minggu untuk mencari jalan menyelesaikan peningkatan kos sara hidup rakyat.

Radzi Jidin berkata beliau tidak melihat pendekatan yang tuntas dilakukan kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup rakyat.
KUALA LUMPUR:
Radzi Jidin (PN-Putrajaya) menuntut janji kerajaan untuk mencari jalan menyelesaikan peningkatan kos sara hidup yang membebankan rakyat.

“Jika kita ingat sewaktu peringkat awal YB Tambun (Anwar Ibrahim) menjadi perdana menteri, beliau menyebut memberi tempoh dua minggu untuk sediakan kertas kerja bagi menangani isu kos sara hidup rakyat.

“Sekarang dah lebih berminggu-minggu dan kita tidak melihat apakah satu pendekatan yang tuntas dalam menangani isu ini,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong.

Radzi turut menegur gabungan Pakatan Harapan (PH) diketuai Anwar kerana memberi tanggapan semasa tempoh berkempen untuk PRU15 bahawa isu kos sara hidup “mudah diselesaikan”.

“Jadi mengapakah sampai hari ini, tidak ada sebarang tindakan yang menyeluruh diambil berkaitan hal ini?” soalnya.

Pada 27 Nov lalu, Anwar berkata beliau memberi tempoh dua minggu kepada kementerian dan agensi berkaitan untuk menganalisis dan membincangkan subsidi disasarkan untuk rakyat.

Anwar berkata, keutamaan adalah untuk meringankan beban rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah memandangkan kenaikan harga barang dan kos sara hidup

Menurutnya, sebaik sahaja Jemaah Menteri dibentuk, menteri berkaitan akan berbincang berkenaan data yang didapati bersama pegawai mereka dan agensi bawah bidang kuasa sebelum membentangkan keputusan kepada Kabinet.

Sebagai maklum balas, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berkata, dua minggu yang diberikan Anwar bertujuan untuk pengumpulan data, bukan menyelesaikan isu itu, yang memerlukan usaha berterusan.

“Saya rasa itu untuk mengumpulkan data, bukan untuk menyelesaikan masalah itu secara berterusan. Itu kena jelas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.