Kerajaan Perak siasat dakwaan wanita berseluar pendek dinafi rawatan

Kerajaan Perak siasat dakwaan wanita berseluar pendek dinafi rawatan

Wanita itu ke jabatan kecemasan Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan bagi senggugut dan darah tinggi Ahad lalu.

Seorang wanita mendakwa dinafikan rawatan di Hospital Kampar kerana berseluar pendek. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan Perak akan menyiasat dakwaan seorang wanita dinafikan rawatan di Hospital Kampar kerana berseluar pendek.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan, berkata beliau akan mendapatkan penjelasan kedua-dua pihak.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita patut tahu pakaian yang sesuai (dipakai) ke tempat tertentu.

“Tetapi, bagi kes kecemasan, tidak kira apa yang dipakai orang, jangan marah. Jadi, saya perlu dapatkan penjelasan kedua-dua pihak mengenai isu ini secepat mungkin.

“Saya tidak boleh menyalahkan sesiapa. tetapi saya akan siasat perkara ini,” katanya menurut NST.

Wanita berusia 21 tahun itu ke jabatan kecemasan Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan bagi senggugut dan darah tinggi pada 11 malam Ahad lalu.

Setibanya di hospital, wanita berseluar pendek itu dimaklumkan seorang pembantu perubatan yang pakaiannya tidak sesuai.

Dia diminta menukar pakaian dan berseluar panjang sebelum memasuki bilik kecemasan.

FMT sudah menghubungi Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa untuk mengulas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.