
Katanya, sikap dan pendirian sesetengah parti politik ke atas projek terpilih boleh memberi kesan langsung kepada pelabur asing.
“Setelah Lynas beroperasi 10 tahun (di Malaysia), tidak ada sebarang kes pun melibatkan apa yang diuar-uarkan sebelum ini,” katanya ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, pada Julai ini, Lynas perlu menghadapi masalah dengan syarat tetap dikekalkan seperti dahulu.
“Saya rasa kita perlu kekal kepada fakta dan pendapat pakar, dalam negara dan luar negara, yang menjelaskan projek Lynas tidak membawa sebarang kesan terbalik seperti didakwa.”
Terdahulu, FMT melaporkan lesen Lynas beroperasi di Malaysia diperbaharui selama tiga tahun berkuat kuasa 3 Mac ini.
Lesen itu diperbaharui tanpa sebarang perubahan syarat, bermakna syarikat itu dilarang mengimport dan memproses nadir bumi selepas 1 Julai ini.
“Ini lesen operasi keenam kami dan empat lesen yang diberikan sebelum 2020, tidak termasuk syarat ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze dalam kenyataan.
Syarikat itu yang mempunyai kilang pemprosesan di Gebeng, Pahang, perlu menutup kemudahan retak dan larut lesapnya selepas 1 Julai ini mengikut syarat pelesenan.
Lacaze berkata, syarat itu tidak konsisten dengan syarat Lynas dijemput untuk melabur di Malaysia dan saranan empat semakan saintifik bebas, yang setiap satunya mendapati operasi syarikat itu “berisiko rendah dan mematuhi peraturan”.
Sebelum lesen Lynas diperbaharui kali ini, beberapa laporan berita mengatakan syarikat itu akan dihalang menghasilkan sisa radioaktif.
Pada Mei 2019, Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Lynas akan dibenar meneruskan operasi kilang pemprosesannya di Gebeng.
Beliau berkata, kerajaan perlu memperbaharui lesen syarikat itu kerana tidak mahu kehilangan pelaburan besar.
Lesen operasi untuk kilang pemprosesan Lynas sepatutnya diperbaharui September tahun itu, tetapi berdepan risiko akibat kebimbangan terhadap pelupusan sisa.
Lynas kemudiannya menegaskan ia sentiasa mematuhi peraturan penyimpanan ditetapkan kerajaan dan kemudahan penyimpanan sisanya dikendalikan dengan cara betul.