
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata sebaliknya kerajaan akan mengetatkan pengurangan subsidi bagi golongan kaya supaya rakyat miskin tidak terus terbeban.
“Kita tidak bercadang untuk perkenalkan GST atau cukai kepenggunaan berasas luas, yang kita akan perketatkan adalah pengurangan subsidi bagi golongan kaya seperti mana yang dilakukan subsidi elektrik.
“Walaupun ada keputusan kerajaan sebelum ini untuk menaikkan tarif elektrik, kerajaan sekarang sudah batalkan dan mengenakan cukai itu kepada T20 iaitu syarikat besar melainkan syarikat yang terlibat dalam isu food security (keterjaminan makanan),” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Wong Kah Woh (PH-Taiping) berhubung sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan cukai baharu kepada rakyat bagi menampung hutang negara.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan menggunakan beberapa langkah untuk mengurangkan ketirisan berkait subsidi diesel.
“Maknanya, kalau boleh selamatkan RM5 ke RM6 billion daripada ketirisan itu, ia akan membantu. Begitu juga beberapa hal lain penjanaan pertumbuhan ekonomi, kesediaan pelabur domestik dan asing yang mula masuk ke dalam negara, saya percaya hasil akan meningkat tanpa membebankan rakyat secara umum,” katanya.