
“Apabila krisis ekonomi berlaku, apabila kegawatan dan kemelesetan ekonomi melanda seperti Sri Lanka, yang terkesan adalah rakyat tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Kemelut ekonomi Sri Lanka bermula apabila wabak Covid-19 menjejaskan ekonominya yang bergantung kepada pelancongan, dan diburukkan lagi dengan hutang kerajaan yang tinggi, lonjakan harga minyak, dan sekatan ke atas pengimportan baja kimia yang melumpuhkan sektor pertanian.
Kemelut itu membawa kepada kekurangan makanan dan bahan bakar, serta krisis politik.
Johari berkata, Malaysia dapat mengharungi krisis kewangan yang lepas kerana kestabilan politik, pasukan yang kompeten dalam kerajaan, dan pentadbiran berwibawa yang diyakini pelabur.
Terdahulu, Johari mengingatkan tentang cabaran ekonomi yang dihadapi negara, dengan menarik perhatian kepada hasil kerajaan yang tidak meningkat di sebalik hutang yang bertambah.
“Sebelum ini kita dapat mengutip hampir 15% daripada KDNK sepanjang 2012 hingga 2018. Hari ini hasil cukai kita peratusan daripada KDNK hanya 11.1%,” katanya.
Beliau menambah negara lain di rantau ini mengutip hasil cukai antara 14%-22.7% daripada KDNK masing-masing.
“Hasil yang kita kutip pada 2021 sejumlah RM221 bilion lebih kurang dengan kutipan hasil yang kita kutip pada 2017 iaitu hanya RM220 bilion,” katanya.
Johari berkata, kerajaan berdepan defisit yang begitu besar kesan daripada kekurangan hasil itu, daripada RM40.3 bilion pada 2017 kepada hampir RM100 bilion pada 2022.
Keadaan itu menyebabkan kerajaan terpaksa meminjam dengan begitu banyak sehinggakan hutang kerajaan kini mencecah RM1.5 trilion.
Katanya, dalam masa empat tahun sahaja, kerajaan meningkatkan hutang negara hampir RM350 bilion.
“Saya bukan berniat untuk menakutkan Dewan yang mulia ini tetapi memberi gambaran yang jelas, yang sebenar kepada Yang Berhormat sekalian, betapa pentingnya negara kita, kerajaan kita, dan juga kita semua dalam Dewan ini untuk melihat angka-angka ini dan menyusun strategi supaya ianya tidak berterusan menunjukkan trend yang sama untuk lima, sepuluh tahun akan datang,” katanya.