
Mayat itu yang ditemukan di Nurdagi, wilayah Gaziantep dikeluarkan oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) pada 5.55 petang waktu tempatan.
“Pasukan Charlie 01 & Delta 01 (MAS-10) berjaya mengeluarkan tujuh mangsa gempa bumi dan kesemuanya meninggal dunia,” menurut Smart di Facebook.
“Atas faktor keselamatan pasukan, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 7.50 petang (waktu tempatan), berikutan cuaca semakin sejuk.”
Dilaporkan semalam Smart berjaya mengeluarkan lima mangsa, terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita, yang terperangkap bawah runtuhan sebuah rumah pangsa enam tingkat.
Lima mangsa berkenaan kumpulan mangsa yang pertama ditemukan selamat oleh pasukan SAR negara sejak ditempatkan.
Setakat ini, pasukan penyelamat negara sudah membawa keluar 25 mayat dan lima mangsa hidup.
Gempa bumi bermagnitud 7.8 pada skala Richter melanda beberapa kawasan di Turki dan Syria pada Isnin lepas, meragut puluhan ribu nyawa. Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.
Minggu lepas, 75 anggota Smart digerakkan ke Turki untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat susulan bencana tersebut.