
Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata sudah tiba masanya untuk memperkenalkan sistem merit penuh untuk menarik lebih ramai golongan bukan Melayu, selain meningkatkan kapasiti serta prestasi perkhidmatan awam.
“Mesti ada peluang yang sama dalam pengambilan dan pengembangan kerjaya,” katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, dalam hantaran di Facebook menggesa kerajaan agar melaksanakan pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam, dengan mendakwa ia didominasi oleh orang Melayu.

Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu menangani isu ini segera dan memastikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik.
Anwar ketika mengulas perkara itu berkata, kerajaan tidak akan mempertimbangkan gesaan memecah monopoli orang Melayu dalam perkhidmatan awam kerana tidak melihat perkara itu sebagai satu isu.
Kua mendakwa saiz perkhidmatan awam “terlampau besar”, dengan 1.7 juta penjawat awam untuk 32 juta penduduk.
Beliau berkata “terlalu banyak birokrasi” telah mewujudkan ketirisan besar-besaran dalam ekonomi.
Selain itu, katanya, tidak ramai wakil daripada golongan bukan Melayu dan masyarakat Orang Asli Malaysia Timur dalam perkhidmatan awam di semua peringkat.
“Ini pastinya memberi kesan bukan sahaja untuk keadilan dan hak sivil orang bukan Melayu tetapi juga untuk mencapai meritokrasi dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Memetik laporan Bank Dunia, yang mengatakan pengambilan penjawat awam tidak adil dan neutral, dengan Malaysia mendapat markah yang sangat teruk dalam petunjuk kesaksamaan dalam kerajaan, Kua berkata, pasti ada kesan ke atas akauntabiliti dan keterbukaan sektor awam.
“Bukankah sudah tiba masanya perkhidmatan awam yang didominasi Melayu disusun semula untuk mencerminkan matlamat egalitarian?” soalnya.