Keluar GTA usul akar umbi, pimpinan harus akur, kata pemimpin Pejuang

Keluar GTA usul akar umbi, pimpinan harus akur, kata pemimpin Pejuang

Ketua Wanita Pejuang Che Asmah Ibrahim berkata, keputusan keluar daripada GTA langsung tidak dipengaruhi mana-mana kumpulan.

Ketua Wanita Pejuang Che Asmah Ibrahim berkata, pihaknya menghormati keputusan Dr Mahathir Mohamad yang meninggalkan parti itu kerana tidak bersetuju dengan keputusannya keluar daripada GTA. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Keputusan Pejuang memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA) bulan lepas adalah kehendak akar umbi sendiri, kata seorang pemimpinnya.

Ketua Wanita Pejuang, Che Asmah Ibrahim, berkata usul itu dibawa oleh akar umbi dan pemimpin harus akur dengan keputusan yang dibuat.

“Pejuang sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, jadi keputusan untuk keluar GTA itu keputusan yang dibuat semasa perhimpunan agung tahunan (AGM), melibatkan pandangan akar umbi.

“Jadi mengikut perlembagaan, kita (pimpinan) tak boleh melanggar keputusan yang dibuat dalam AGM,” katanya kepada FMT.

Asmah berkata, usul keluar GTA itu juga dibawa mengikut proses yang betul dan tidak dipengaruhi mana-mana kumpulan.

“Proses keluar GTA dibuat mengikut saluran yang betul, melalui pelbagai peringkat. Bukan kita saja-saja buat, (dipengaruhi) oleh kumpulan tertentu,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan Dr Mahathir Mohamad keluar Pejuang kerana tidak bersetuju dengan keputusan parti memutuskan hubungan dengan GTA, Asmah berkata, pihaknya menghormati pandangan negarawan itu.

“Kita sangat menghormati pandangan Dr Mahathir. Pada masa sama, kita juga menghormati ahli Pejuang,” katanya.

Beliau juga berkata, perjuangan Pejuang tidak pernah berubah sejak ia ditubuhkan iaitu untuk membela agama, bangsa, dan negara dengan membawa budaya politik baharu lebih sejahtera, demokratik, dan mendengar pandangan semua pihak.

Jumaat lepas, dilaporkan bahawa Mahathir bersama 12 pemimpin lain meninggalkan Pejuang yang diterajui anaknya, Mukhriz.

Perkara ini disahkan oleh bekas ahli m0ajlis eksekutif pusat Pejuang, Abu Bakar Yahya, yang memaklumkan 13 pemimpin termasuk dirinya meletak jawatan serta keahlian serta-merta.

Pada 14 Jan, Mukhriz, yang juga presiden Pejuang, mengumumkan parti itu menarik diri daripada GTA bagi mengukuhkan kedudukannya sebelum menjadi sebahagian daripada gabungan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.